Pindaan Akta Persaingan 2010 dijangka dibentang akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 sebagai usaha mencegah aktiviti kartel dalam pasaran kini berada pada peringkat akhir dan dijangka dibentangkan di Parlimen akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata cadangan pindaan itu melibatkan penyediaan perundangan persaingan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata semua industri termasuk komunikasi dan multimedia, penerbangan awam serta tenaga akan dikawal selia di bawah satu perundangan persaingan khusus.

“Hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah untuk memusatkan kawal selia isu persaingan di bawah satu perundangan persaingan yang khusus dan langkah itu akan melibatkan pindaan Akta 712 dan perundangan lain yang berkaitan.

“Bagaimanapun, merujuk tindakan terkini Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang sedang dalam proses meminda Akta 712, ia melibatkan penambahbaikan kepada kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan,” kata beliau ketika menggulung perbahasan usul RMK13 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata ia termasuk memperkenalkan rejim kawalan percantuman yang boleh membantu kerajaan mengekang dari awal pembentukan kartel atau monopoli dalam pasaran.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga mengambil maklum cadangan penambahbaikan supaya pengesanan dan siasatan terhadap sebarang unsur kartel dan pakatan bida dilaksanakan sebelum proses perolehan dimuktamadkan.

Susulan itu, Armizan berkata di bawah Akta 712, MyCC diberi mandat untuk memulakan penyiasatan berlandaskan kepada empat kaedah, antaranya secara ex officio atau berdasarkan maklumat serta aduan yang diterima daripada mana-mana pihak seperti orang awam, agensi kerajaan dan pihak industri.

“Semasa sebarang penyiasatan berjalan, MyCC tidak mempunyai kuasa mengarahkan kementerian, agensi kerajaan mengeluarkan atau mengecualikan mana-mana pembida daripada proses penapisan dan pemilihan pembekal ataupun kontraktor bagi satu-satu tender.

“Ini kerana mereka masih belum dibuktikan melanggar Akta 712,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian dan agensi kerajaan boleh membuat tindakan sewajarnya untuk mengeluarkan atau mengecualikan syarikat-syarikat yang telah diputuskan melanggar undang-undang persaingan.

Armizan berkata berdasarkan rekod penguatkuasaan, MyCC telah mengeluarkan beberapa keputusan pelanggaran di bawah Seksyen 40 Akta 712 melibatkan 270 perusahaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 268 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan dua perusahaan menyalahgunakan kedudukan monopoli mereka, manakala 26 perusahaan terbukti melanggar Seksyen 4 Akta 712 kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida dan dikenakan penalti kewangan berjumlah 97.71 juta ringgit. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *