KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi permohonan lesen kenderaan perdagangan.
Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Loh Jui Chew, 38, selepas lelaki terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua bulan.
Loh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, kerana menggunakan penyata Maybank palsu di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di sini, pada 15 Sept 2022.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan pemilik syarikat JC Tech Advance Auto Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2019, menjalankan perniagaan perkhidmatan pengurusan berkaitan dengan APAD, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Pada 10 Ogos 2022, seorang lelaki telah berjumpa tertuduh di pejabat tertuduh di Melaka bagi memaklumkan hasratnya untuk memohon lesen kenderaan perdagangan untuk syarikatnya.
Pada peringkat permohonan surat tawaran kelulusan lesen kenderaan perdagangan, antara dokumen yang perlu dikemukakan ialah dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia, salinan penyata bank tiga bulan terkini, surat tapak parkir kenderaan dan surat kontrak kerja.
Antara Ogos hingga September 2022, Loh telah memalsukan penyata akaun Maybank milik lelaki berkenaan sebelum dokumen-dokumen permohonan itu diserahkan kepada pegawai kaunter semakan APAD Wilayah Tengah.
Pada 21 Sept 2022, Jawatankuasa Perlesenan APAD meluluskan permohonan surat tawaran lesen kenderaan perdagangan yang dimohon tertuduh tanpa menyedari telah diperdaya dengan permohonan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Elyza Amira Habeeb Rahman memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak melakukan kesalahan itu.
“Peguam Alvin Tan Keng Yi merayu hukuman ringan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan,“ katanya. – Bernama