Palestin kecam Israel lulus 3,400 unit penempatan baharu

RAMALLAH: Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh mengecam keras tindakan Jawatankuasa Kecil Penempatan Israel meluluskan rancangan pembinaan 3,400 unit penempatan baharu di kawasan E1, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Abu Rudeineh berkata rancangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Resolusi Majlis Keselamatan 2334 yang menegaskan semua penempatan adalah haram, sama ada di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Beliau menegaskan pihak pendudukan Israel mencabar masyarakat antarabangsa yang berulang kali mengecam serta memberi amaran terhadap pelaksanaan rancangan itu.

Abu Rudeineh menyifatkan tindakan berkenaan sebagai peningkatan berbahaya yang bakal memutuskan sepenuhnya hubungan antara utara dan selatan Tebing Barat.

Beliau turut menegaskan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala implikasi daripada apa yang disifatkannya sebagai dasar berbahaya dan agresif, sambil memberi amaran ia boleh mencetuskan konflik besar di seluruh rantau.

Beliau menggesa pentadbiran Amerika Syarikat (AS) segera campur tangan bagi menghentikan apa yang disifatkannya sebagai perang habis-habisan Israel terhadap rakyat Palestin, termasuk perang berterusan di Gaza, ancaman peningkatan keganasan, serangan di Tebing Barat, peningkatan keganasan pendatang haram serta serangan terhadap tapak suci Islam dan Kristian.

Abu Rudeineh turut menuntut pembebasan dana Palestin yang disekat oleh Israel – BERNAMA-WAFA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *