KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya terbuka untuk mengkaji cadangan penubuhan tabung khas bagi tujuan penyelenggaraan jalan raya di kawasan industri dan berintensiti ekonomi tinggi.
Menteri berkenaan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata setakat ini, KKR belum menerima cadangan rasmi berhubung perkara itu, namun bersedia meneliti saranan berkenaan sekiranya ia dapat membantu menyediakan infrastruktur jalan raya yang lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
“Apatah lagi jika ia melibatkan kawasan aktiviti ekonomi yang penting,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) sama ada KKR terbuka untuk mengkaji cadangan menyediakan tabung khas bagi penyelenggaraan jalan industri di kawasan strategik seperti Kapar, yang menjadi nadi perindustrian serta penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Nanta berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memberikan fokus kepada usaha mencari kaedah terbaik dalam penyelenggaraan jalan, termasuk melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap bahan binaan yang lebih kukuh dan mampu menampung beban muatan berlebihan.
“Kita juga membuat lebih banyak R&D tentang bahan-bahan untuk kita gunakan bagi membina permukaan jalan yang lebih tahan lasak dan sesuai untuk laluan industri.
“Kita tidak menafikan di sana (kawasan perindustrian), lori atau trak besar selalunya akan membawa muatan berlebihan (sehingga boleh menjejaskan struktur jalan raya),” kata beliau.
Beliau berkata KKR juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi berkaitan, yang sentiasa mengadakan mesyuarat bagi menyelaras semua isu berkaitan jalan raya daripada semua aspek. – Bernama