KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia sedang dalam proses memperluas tahap pensijilan kemahiran di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia ke tahap 6, 7 dan 8 berbanding hanya tahap 1 hingga 5 pada masa ini.
Menteri Steven Sim berkata usaha itu akan direalisasikan melalui pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.
“Ia bermatlamat memartabatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan yang setara dan seimbang dengan laluan akademik dalam sistem pendidikan tinggi negara.”
Beliau berkata usaha berkenaan seiring dengan peningkatan kadar pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan setaraf ke program TVET yang mencatat peningkatan signifikan iaitu daripada 31.3% pada 2020 kepada 53.6% pada 2024.
Dalam tempoh yang sama, kadar kebolehpasaran graduan TVET turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan daripada 87% kepada 95.6%.
“Seiring dengan itu, peruntukan bagi pembangunan TVET turut diperkukuh, daripada 5.9 bilion ringgit pada 2020 kepada 7.5 bilion ringgit pada 2024, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam mengangkat TVET sebagai teras penting pembangunan modal insan negara.”
Berhubung saranan agar Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran diangkat sebagai pengurusan tunggal bagi semua skim pembiayaan TVET, Sim berkata dana agensi itu sememangnya boleh digunakan sebagai pembiayaan untuk kursus program di semua institusi latihan yang berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“Pada tahun ini, sebanyak 480 juta ringgit diperuntukkan untuk skim berkenaan.”
Selain itu, beliau berkata KESUMA dalam proses untuk menambah baik Akta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 bagi membolehkan PTPK membiayai kursus kemahiran di luar pentauliahan JPK, kursus kemahiran profesional dan kursus kemahiran untuk tujuan perlesenan.
“Contohnya kursus oleh Microsoft, kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pentauliahan badan-badan dalam negara seperti Suruhanjaya Tenaga serta badan-badan luar negara seperti American Welding Society dan sebagainya.”
“Dengan penambahbaikan ini, nescaya PTPK bakal memainkan peranan dana TVET kebangsaan seperti yang dicadangkan.”
“Kami juga akan mengkaji peranan PTPK dari masa ke masa agar mandat dan pembiayaan PTPK mampu memenuhi keperluan kemahiran negara.”
Dalam pada itu, Sim berkata Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang melindungi lebih sejuta pekerja sektor ekonomi gig di negara ini akan dibentang pada persidangan minggu depan.
Beliau berkata dalam proses menyiapkan draf RUU itu, hampir 40 sesi libat urus telah dilaksanakan dengan penyertaan hampir 4,000 pihak berkepentingan termasuk hampir 500 maklum balas secara dalam talian.
“Mereka termasuk pekerja gig dan persatuan yang mewakili pekerja gig, kesatuan sekerja, pihak majikan dan pengusaha platform, persatuan-persatuan yang mewakili majikan, ahli akademik, penjawat awam, dan badan-badan bukan kerajaan.” – Bernama