Kediaman, sekolah rosak akibat gempa bumi di Jawa Barat – Agensi Bencana Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter melanda berhampiran Jakarta pada Rabu malam, merosakkan beberapa rumah dan bangunan awam di Jawa Barat, namun tiada kematian dilaporkan, menurut pegawai.

Gempa berlaku pada 7.54 malam waktu tempatan dan berlarutan selama beberapa saat.

Pusat gempa terletak kira-kira 14 kilometer ke tenggara Bekasi pada kedalaman 10 kilometer.

Gegaran dengan kekuatan sederhana hingga kuat turut dirasai di Jakarta dan bandar-bandar berhampiran termasuk Depok, Bogor dan Purwakarta, memaksa penduduk meninggalkan rumah serta bangunan tinggi.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Karawang, lapan rumah rosak, menjejaskan 20 orang daripada lapan keluarga.

Siling sebuah bilik darjah sekolah rendah dan sebahagian dewan serbaguna turut runtuh.

Bagaimanapun, kedua-dua bangunan berkenaan kosong ketika gempa berlaku.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan berkata pihak berkuasa masih menilai tahap kerosakan.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik dan sering mengalami aktiviti seismik – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *