Kedah mohon kelonggaran hasil benih padi sendiri tangani kekurangan

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi kelonggaran kepada negeri ini untuk menghasilkan benih padi sendiri bagi menangani kekurangan bekalan.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata para petani di negeri itu sudah sekian lama berdepan isu bekalan benih padi yang menjejaskan hasil tanaman mereka.

“Sesuai dengan Kedah ini sebagai pengeluar padi utama negara, setelah bertahun-tahun para pesawah di negeri ini berhadapan dengan ketiadaan benih padi, ada benih tapi tak cukup, benih tak tumbuh dan isu kekurangan benih bersubsidi.

“Jadi alangkah baik diberi sedikit kelonggaran, walaupun kita ada peraturan dan undang-undang dan agensi yang menguatkuasakan varieti benih padi sah untuk tanaman, tapi kita perlu juga mengiktiraf kebijaksanaan dan pengalaman tempatan yang telah bergelumang dengan sawah padi ini puluhan tahun,“ katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah di sini.

Terdahulu, DUN Kedah meluluskan usul Pelaksanaan Program Pembiakbakaan Tanaman Padi oleh Komuniti yang dibentangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri kini menjalankan projek rintis penyemaian benih padi seluas 20.5 hektar di Kampung Sungai Mati, Tobiar, Pendang.

Projek itu masih dalam tempoh kajian sebelum hasilnya dikemukakan kepada KPKM untuk pertimbangan agar Kedah boleh menghasilkan benih padi sendiri.

“Diharapkan benih yang dihasilkan dapat menampung kekurangan bekalan dan memberi hasil lebih baik. Projek rintis ini bukan untuk mencabar sesiapa, tetapi bertujuan menampung kekurangan dalam sistem sedia ada,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *