KBS utamakan bakat tempatan, tidak halang atlet naturalisasi dengan syarat

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri KBS Adam Adli tegaskan pembangunan bakat tempatan kekal keutamaan walaupun tidak halang pengambilan atlet naturalisasi.

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan tidak menghalang penggunaan pemain naturalisasi atau warisan untuk memperkuat pasukan kebangsaan, namun pembangunan bakat tempatan tetap menjadi keutamaan utama negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim menyatakan pengambilan atlet sedemikian adalah tertakluk kepada syarat ketat, termasuk mendapat kelulusan kewarganegaraan yang sah daripada Kementerian Dalam Negeri serta mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan sukan antarabangsa dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

“Pendekatan atlet naturalisasi atau pemain warisan terbukti memberi impak positif dan berperanan sebagai salah satu pemboleh ubah prestasi sukan kebangsaan,“ katanya.

Beliau memberikan contoh kemenangan 4-0 pasukan bola sepak kebangsaan ke atas Vietnam pada 10 Jun dalam perlawanan kelayakan Piala Asia AFC dengan penyenaraian tiga pemain naturalisasi.

“Kali terakhir pasukan kebangsaan menewaskan Vietnam adalah pada 2014. Kehadiran pemain naturalisasi dan pemain warisan dilihat membantu meningkatkan mutu dan kualiti permainan sukan bola sepak tempatan sekaligus membantu mempertingkatkan prestasi pasukan,“ ujarnya.

Adam Adli menegaskan pengambilan pemain naturalisasi tidak boleh menjejaskan pembangunan bakat tempatan.

“Setiap PSK (Persatuan Sukan Kebangsaan) perlu mengambil kira syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkaitan agar keseimbangan dapat dicapai antara pembangunan bakat tempatan dengan peningkatan prestasi sukan negara melalui pemain naturalisasi,“ jelasnya.

Mengenai permohonan Persatuan Bola Keranjang Malaysia untuk mengambil dua pemain naturalisasi dan seorang pemain warisan, beliau menyatakan KBS tiada halangan bagi permohonan persatuan itu, namun keputusan akhir terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *