SEREMBAN: Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencederakan tiga anak lelaki tirinya menggunakan sebatang paip polyvinyl chloride (PVC).
M. Satiskumar, 44 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin dan Hakim N. Kanageswari.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan tiga anak tirinya berusia 15, 16 dan 19 tahun dengan sebatang paip PVC di sebuah rumah di Taman Bukit Mutiara pada 5.30 pagi 15 Ogos lepas.
R. Tharani, 39 tahun, ibu kandung kanak-kanak itu turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mencederakan anaknya berusia 16 tahun menggunakan pisau di tempat dan lokasi yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.
Pasangan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda daripada tempoh itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni dan Siti Khairiah Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah 33,000 ringgit bagi tiga pertuduhan terhadap Satiskumar manakala Tharani dikenakan jaminan 15,000 ringgit masing-masing dengan seorang penjamin.
Pasangan suami isteri itu juga diperintahkan menyerahkan pasport dan melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan serta dilarang mengganggu atau menghubungi saksi sehingga kes selesai.
Sebutan semula kesemua kes itu ditetapkan pada 24 September dan 29 September ini. – Bernama