SEPANG: Seorang guru Bahasa Inggeris sebuah sekolah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam dengan mendakwa Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Wanita itu didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam di akaun TikTok miliknya “SHA_Abrienda” pada 1.20 petang, 6 Ogos lepas.Kenyataan itu dilihat dan didengar oleh seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 (T2) di sini.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde yang mewakili Siti Hajar Aflah memohon jaminan rendah iaitu RM3,000, atas alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal yang menanggung tiga anak masih bersekolah dan ibu bapa yang sudah uzur.
“Anak guam berkhidmat sebagai guru di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan pendapatan RM5,000 sebulan.
“Dia juga menanggung tiga anak berusia 10, 11 dan 12 tahun dan ibu bapa masing-masing berumur 65 dan 66 tahun yang mana ibunya pesakit strok ringan,” katanya.
Mohamad Zaiful berkata anak guamnya juga telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa ketika siasatan dijalankan dan menyerahkan diri ke balai polis, selain bukan seorang yang berisiko melarikan diri.
Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Okt untuk sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Limauan, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah itu pada 4 pagi, 16 Julai, sebelum disahkan meninggal dunia selepas sehari dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Namun, tular di media sosial dengan dakwaan kononnya mangsa maut selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh, sehingga menimbulkan kebimbangan awam serta memberi tekanan emosi kepada keluarga Zara Qairina serta mengganggu proses siasatan polis.
Isnin lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata guru Bahasa Inggeris itu ditahan kerana memuat naik kandungan TikTok mendakwa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh dan guru itu mengakui ia hanyalah untuk membuat kandungan- BERNAMA