Australia hargai peranan Malaysia pengerusi ASEAN, iktiraf Palestin di PBB

KUALA LUMPUR: Australia mengalu-alukan peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN termasuk dalam mengendalikan konflik Myanmar.

Negara jiran itu turut menghargai usaha gencatan senjata Kemboja-Thailand serta proses kemasukan Timor-Leste sebagai anggota baharu blok serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disampaikan kepada beliau ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles.

“Malaysia turut menyambut baik hasrat Kerajaan Australia untuk mengiktiraf negara Palestin pada Sesi Ke-80 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September kelak,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Anwar berkata kunjungan hormat itu adalah sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.

Beliau berkata pertemuan itu membuka ruang pertukaran pandangan untuk mempererat kerjasama strategik dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, pertahanan serta keselamatan serantau. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *