10 kapal perang ASEAN lintasi Selat Utara dalam Fleet Review 2025

GEORGE TOWN: Terminal Kapal Persiaran Jeti Swettenham (SPCT) di Pulau Pinang menjadi pentas bersejarah bagi perbarisan armada ASEAN Fleet Review (AFR) 2025 dengan kehadiran sepuluh kapal perang.

Acara ini diadakan sempena Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19 yang melibatkan tujuh kapal perang tentera laut serantau dan tiga kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Lima kapal memulakan kumpulan pertama perbarisan dalam formasi garisan lurus yang didahului aset TLDM KD Lekiu yang dibina di Scotland dan ditauliahkan pada 9 Oktober 1999.

Kapal berpangkalan di Lumut ini dikendalikan oleh 164 pegawai dan anggota di bawah pimpinan Kapten Mahamad Nazir Darus.

Mengiringi KD Lekiu ialah KBD Darulaman dari Brunei, KRI Bung Tomo dari Indonesia, UMS King Sin Phyu Shin dari Myanmar dan BRP Antonio Luna dari Filipina.

Kumpulan kedua perbarisan diketuai KD Lekir dan diikuti kapal perang dari Singapura (RSS Vigour), Thailand (HTMS Krabi), Vietnam (VPNS Quang Trang) serta diakhiri dengan KD Kedah.

Selepas lintasan kapal, tetamu dijamu dengan acara fly-past oleh empat aset udara TLDM iaitu AW139, Super Lynx Mk 100 dan dua AS55 Fennec.

Acara selama lima puluh minit itu turut disaksikan rakyat Pulau Pinang berhampiran Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dan Padang Kota Lama.

Tinjauan Bernama di Padang Kota Lama mendapati orang ramai termasuk pelancong asing tidak melepaskan peluang menyaksikan perbarisan kapal-kapal ASEAN serta merakam gambar kenang-kenangan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata AFR merupakan kemuncak aktiviti sepanjang seminggu acara ketenteraan maritim terbesar di Pulau Pinang.

Beliau menyatakan semua kapal TLDM dan negara ASEAN membuat perlayaran dalam bentuk formasi di Selat Utara dan boleh disaksikan oleh semua rakyat Pulau Pinang dari Butterworth dan George Town.

Acara tersebut disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib yang turut menerima tabik hormat daripada setiap kapal dan dihadiri ketua-ketua tentera laut ASEAN.

Turut hadir ialah Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail serta Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Pulau Pinang menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran TLDM bermula 15 Ogos sehingga esok yang melibatkan tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

AFR merupakan antara acara disamping ANCM ke-19 dan Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga yang telah berlangsung di sekitar George Town dan Batu Ferringhi.

Selain itu turut diadakan Persidangan Kejuruteraan Tentera Laut (NEC) dan ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) yang mengimbau International Royal Fleet Review (IRFR) 1990 dengan 59 kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *