KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa golongan B40 yang benar-benar layak tidak akan terjejas dengan pelaksanaan proses pemutihan Program Perumahan Rakyat yang sedang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan kerajaan MADANI mewarisi satu cabaran legasi yang besar dalam memastikan kemudahan PPR benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata dengan kadar sewa hanya RM124 sebulan, rumah PPR adalah antara subsidi besar kerajaan untuk membantu keluarga B40 hidup dengan lebih selesa di ibu kota.
Langkah pemutihan ini adalah untuk memastikan keadilan dilaksanakan dalam proses pengagihan.
“Saya terpanggil untuk memberi respons tentang isu notis pengosongan rumah PPR yang menjadi keresahan rakyat beberapa hari ini,“ katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagi mereka yang terkesan dan ingin membuat rayuan, DBKL menyediakan mekanisme rayuan dalam tempoh 30 hari.
Bagi penyewa yang berdepan masalah tunggakan sewa pula, DBKL sedia berunding untuk menetapkan kadar dan jadual pembayaran ansuran.
Penyewa hanya perlu membuat akujanji untuk mematuhi jadual tersebut supaya mereka boleh terus menetap di rumah PPR dengan syarat-syarat yang dipersetujui.
Zaliha berkata DBKL telah menetapkan syarat jelas kepada penyewa termasuk pasangan suami isteri warganegara Malaysia.
Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 bagi kos rendah dan kos sederhana kurang RM4,000.
Syarat lain termasuk tidak memiliki rumah atau tanah dalam lingkungan 35 kilometer dari pusat bandar.
Pemohon perlu berkahwin atau berstatus janda, duda, ibu, bapa tunggal.
Mereka juga perlu tinggal atau bekerja di Kuala Lumpur dan berdaftar di DBKL.
Proses pemutihan yang sedang dijalankan oleh DBKL kini adalah untuk menegakkan syarat-syarat ini.
Untuk makluman pemakluman kepada penyewa telah diberikan enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh kontrak mereka.
Ini merupakan prosedur semakan standard yang dilaksanakan setiap kali kontrak penyewaan tamat.
Daripada 3,379 penyewa yang disemak, seramai 3,031 penyewa atau 89.7 peratus masih layak dan kekal menyewa.
Sebanyak 348 penyewa atau 10.3 peratus gagal disambung kerana melanggar syarat.
Antara sebab penamatan termasuk tunggakan sewa tinggi dan pendapatan isi rumah melebihi syarat kelayakan.
Sebab lain termasuk memiliki rumah lain dalam lingkungan 35 km dari Kuala Lumpur.
Pasangan bukan warganegara dan tidak menetap di unit PPR juga antara sebab ketidaklayakan.
Untuk rekod, pada masa ini tunggakan sewa PPR dan Perumahan Awam DBKL mencecah sehingga RM70 juta.
Cabaran legasi ini mesti ditangani dengan berani agar inisiatif perumahan rakyat bersifat adil.
Inisiatif ini juga perlu berintegriti dan benar-benar menyantuni golongan yang memerlukan.
Unit kosong hasil pemutihan akan diagihkan semula kepada pemohon yang lebih memerlukan. – Bernama