Penuntut China diarah pemeriksaan psikiatri atas lapan pertuduhan cubaan bunuh

KAJANG: Seorang penuntut universiti warga China diarah menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan bermula hari ini atas lapan pertuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan membabitkan tujuh mangsa.

Hakim Mahkamah Sesyen Normastura Ayub dan Majistret Fatin Dayana Jalil memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan dan Siti Nur Alia Safri.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memerintahkan wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk mendapatkan pemeriksaan psikiatri.

Faelly tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah serius dan tidak boleh dijamin selain memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi mendapatkan pemeriksaan psikiatri.

“Semasa pertuduhan dibacakan, tertuduh dilihat seperti keliru dan seolah-olah tidak memahami pertuduhan tersebut,” katanya.

Di Mahkamah Sesyen, Liu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu dengan niat cuba membunuh dua lelaki berumur 19 dan 21 tahun serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 35 tahun.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun serta denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, pesalah itu boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan lagi, dia juga mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berumur 60 tahun dengan menetak lengan kanan mangsa menggunakan sebilah pisau.

Dia turut didakwa menikam perut seorang lelaki berumur 27 tahun menggunakan pisau dalam pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap dua lelaki berumur 21 dan 49 tahun serta seorang wanita berumur 53 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.

Liu memahami tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa namun dia hanya berdiam diri dan tiada pengakuan dibuat.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Lapan kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai jahitan dan kraf tangan benang emas di Jalan Besar, di Jalan Semenyih Persimpangan Metropoint dan di sebuah premis di Kompleks Metropoint di sini, antara 11.39 pagi hingga 12 tengah hari pada 13 Ogos lepas.

Sebelum ini, tular di media sosial video kejadian tersebut yang memaparkan seorang wanita terlibat dalam kemalangan sebelum keluar daripada kenderaannya dengan memegang sebilah pisau.

Turut kelihatan beberapa penunggang motosikal yang cedera dan cubaan orang ramai untuk menahan wanita terbabit. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *