SUBANG JAYA: Polis telah merakam keterangan 19 individu termasuk ahli keluarga, rakan dan saksi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar kolej wanita yang disyaki dibunuh.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian serta suspek terlibat.
“Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan,“ katanya dalam kenyataan di sini.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,“ tambah Wan Azlan.
Mangsa berusia lingkungan 20-an ditemukan tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah itu oleh bapanya pada 11.55 pagi.
Berdasarkan laporan bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang, punca kematian disahkan berpunca akibat pendarahan pada sekeliling tulang leher (hyoid bone).
Kecederaan pada otot dan tulang adalah kesan cekikan (manual strangulation) menurut laporan perubatan.
Mangsa yang tinggal bersama kakak serta sepupunya didapati bersendirian semasa kejadian.
Tiada kehilangan harta benda dilaporkan dalam kes ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu. – Bernama