Kastam Sarawak rampas rokok seludup bernilai hampir RM12 juta

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas rokok pelbagai jenama dianggar bernilai RM11.88 juta termasuk cukai dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Demak.

Pengarah Kastam Sarawak Norizan Yahya berkata dalam operasi itu pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 50-an dipercayai pengurus gudang berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di premis itu menemukan rokok pelbagai jenama dipercayai dibawa masuk dari Indonesia.

“Nilai sitaan dianggar bernilai RM3.6 juta manakala jumlah duti dan cukai ialah RM8.28 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sitaan RM11.88 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata rokok dikategorikan sebagai barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dengan pengimportannya memerlukan permit.

Norizan berkata modus operandi sindiket berselindung di sebalik premis yang menyimpan barangan berlesen sebagai tempat penyimpanan dan pengangkutan barang larangan itu.

Kes itu disiasat lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *