KUALA LUMPUR: Akta Kanak-Kanak 2001 tidak hanya melindungi mangsa, sebaliknya ia merangkumi semua kanak-kanak, sama ada mangsa, saksi, atau tertuduh.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak juga dijalankan secara tertutup bagi melindungi hak dan maruah kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah serta menjaga kerahsiaan.
Ia juga bagi menjaga kebajikan kanak-kanak itu, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), dan identiti kanak-kanak itu juga tidak boleh didedahkan kepada umum.
“Adakah Akta Kanak-Kanak hanya melindungi mangsa? Tidak. Akta ini melindungi semua kanak-kanak sama ada mangsa, saksi, atau tertuduh,” menurut jawapan kepada beberapa soalan lazim berkaitan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang dikeluarkan BHEUU.
Selain itu, apabila sesuatu mahkamah bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, ia akan diketuai oleh seorang Majistret yang akan dibantu dan dinasihati oleh dua panel penasihat, dengan seorang daripadanya mestilah seorang wanita.
Menurut BHEUU Akta Kanak-Kanak 2001 menyeragamkan undang-undang yang ditakrifkan sebagai mana-mana individu berumur 18 tahun ke bawah berkaitan kanak-kanak di Malaysia, dengan matlamat utama memberi pemulihan dan penjagaan kepada kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang, menjamin kerahsiaan dan maruah kanak-kanak, termasuk larangan media mendedahkan identiti mereka selaras dengan United Nations Child Rights Convention (UNCRC).
Menjelaskan mengenai perbezaan Akta Kanak-Kanak 2001 dengan Kanun Keseksaan, BHEUU berkata Kanun Keseksaan adalah undang-undang yang memperuntukkan kesalahan jenayah dan hukuman (punitive in nature).
“Akta Kanak-Kanak 2001 merupakan undang-undang yang bersifat procedural yang antara lain menyediakan kerangka pengendalian sekiranya seorang pesalah kanak-kanak dipertuduhkan dengan sesuatu pertuduhan jenayah,“ menurut BHEUU.
Akta Kanak-Kanak juga tidak mengenakan hukuman jenayah, sebaliknya hukuman jenayah ditetapkan dalam Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang yang bersifat menghukum (punitive) yang lain.
“Akta Kanak-Kanak juga tidak menghalang pelaku buli daripada dihukum kerana mana-mana pesalah laku kanak-kanak masih boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan,“ menurut BHEUU.
Selain itu kepada soalan apakah undang-undang asas yang terpakai terhadap kanak-kanak yang melakukan jenayah, menurut BHEUU setiap individu bertanggungjawab ke atas perbuatan jenayah mereka, termasuk kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
“Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang bersifat punitif di Malaysia tidak mengecualikan mana-mana individu daripada liabiliti jenayah. Kes dan liabiliti jenayah tidak akan berubah walaupun ia melibatkan seorang pesalah kanak-kanak,” kata BHEUU.
BHEUU turut mengingatkan sebarang penyebaran maklumat palsu yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menjejaskan reputasi atau keselamatan seseorang, atau mengancam keselamatan negara merupakan suatu kesalahan jenayah.
“Kesalahan ini boleh ditangani di bawah Kanun Keseksaan, khususnya Seksyen 124I Kanun Keseksaan yang menyatakan sesiapa yang melalui lisan, tulisan, media cetak, atau apa-apa cara lain termasuk elektronik menyebarkan laporan palsu atau membuat kenyataan palsu yang berkemungkinan menimbulkan kegusaran awam, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun,“ menurut BHEUU. – Bernama