IPOH: Seramai 3,768 kes keganasan rumah tangga melibatkan mangsa berusia 36 hingga 45 tahun direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata daripada jumlah itu 73 peratus atau 2,751 kes merupakan mangsa wanita, manakala 27 peratus atau 1,017 kes melibatkan mangsa lelaki.
Beliau berkata Selangor merekodkan 687 kes, diikuti Perak melibatkan 653 kes, Johor (440), Kedah (379), Sabah (289), Sarawak (277), Kelantan (234), Pulau Pinang (157), Terengganu (146), Negeri Sembilan (141), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (120), Pahang dan Melaka masing-masing 103 kes serta Perlis (39).
“Apabila kita buat advokasi seperti hari ini, lebih ramai yang melaporkan (kepada polis) sendiri… Mungkin kesedaran diri menyebabkan mereka tampil ke hadapan untuk membuat laporan, saya nak ambil peluang untuk nasihatkan semua (mangsa) supaya tampil ke hadapan (buat laporan polis).”
“Jangan sampai terjadi kes kerana terlampau takut sangat, kemudian keganasan itu terlampau teruk sehingga menyesal kemudian, termasuk ada yang meninggal dunia disebabkan keganasan rumah tangga,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga di sini hari ini.
Pada 16 Julai lepas, Noraini dilaporkan berkata 2,467 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga April tahun ini dengan hasil kajian menunjukkan suri rumah merupakan golongan paling tinggi menjadi mangsa.
Terdahulu dalam ucapan semasa merasmikan program hari ini, Noraini berkata bagi negeri Perak, kes keganasan rumah tangga sepanjang tahun lepas adalah 842 kes, menjadikan negeri itu sebagai antara lima negeri tertinggi melibatkan kes keganasan rumah tangga.
“Bagi tahun 2025, sehingga April 2025 kes yang dilaporkan di negeri Perak adalah sebanyak 425 kes, berbanding 175 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Angka Ini menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh setahun,“ katanya.
Sementara itu Noraini berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited dalam memperkukuhkan dasar, undang-undang serta mekanisma dalam menyampaikan maklumat dan sokongan kepada komuniti terutamanya mangsa keganasan rumah tangga.
Beliau berkata usaha meningkatkan kesedaran, memberi keyakinan dan keberanian kepada wanita untuk bersuara, serta menyediakan ruang sokongan dan pemulihan yang selamat merupakan komponen penting dalam menangani isu itu secara menyeluruh.
“Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga atau Aku Wanita@KRT diwujudkan sebagai platform strategik bagi mendekati masyarakat melalui aktiviti berimpak tinggi yang telus terhadap masyarakat dalam menangani masalah KRT (keganasan rumah tangga).”
“Komitmen KPWKM adalah jelas untuk mencegah, melindungi dan memulihkan, tiada siapa yang akan tercicir dalam sistem sokongan kita,“ katanya. – Bernama