PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Khamis ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan bacaan kedua dan ketiga dijadualkan pada 27 Ogos.
Beliau berkata RUU ini menandakan hala tuju baharu bagi memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif.
“Saya rasa sudah tiba masanya, kerana tahun depan negara akan menyambut 70 tahun kemerdekaan, kita perlukan akta baharu untuk menghidupkan semula bandar-bandar lama,” katanya.
Nga berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Inisiatif Belanjawan 2026 Bersama Pemegang Taruh KPKT di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha Datuk M Noor Azman Taib.
Nga menegaskan KPKT melalui PLANMalaysia dan agensi berkaitan telah mengadakan 101 sesi libat urus.
“Kami telah jumpa pemaju, persatuan pembeli rumah, rukun tetangga, ahli akademik, universiti, NGO malah Ahli Parlimen,” katanya.
Beliau yakin RUU ini akan menjadi tonggak penting bagi menghidupkan semula bandar lama dan menyokong agenda pembangunan mampan negara.
Mengenai pendekatan whole-of-government, Nga menekankan pembangunan mampan sebagai kerangka utama Ekonomi MADANI.
“KPKT akan memperhebat lagi mendapatkan peruntukan untuk disalurkan kepada PBT supaya mereka dapat menjadi agensi pelaksana yang berkesan,” jelasnya.
Tahun lepas, 6,611 projek kemudahan awam disempurnakan kebanyakannya melalui PBT.
Dalam isu perumahan mampu milik, Belanjawan 2026 akan memberi tumpuan kepada reformasi sektor perumahan.
“Kementerian akan meningkatkan kualiti rumah tanpa menjejaskan kemampuan harga,” kata Nga.
Harga siling rumah mampu milik bandar kini ditetapkan pada RM300,000.
Kerajaan turut memfokuskan peningkatan pendapatan rakyat untuk memudahkan pemilikan rumah.
Sesi libat urus hari ini bertujuan mengumpul pandangan bagi merangka Inisiatif Belanjawan 2026.
Perbincangan meliputi perumahan mampu milik, pengurusan sisa pepejal, kesiapsiagaan bencana, kelestarian bandar dan pemerkasaan PBT.
Seramai 330 pemegang taruh hadir mewakili pelbagai sektor termasuk pemaju, NGO dan universiti. – Bernama