Polis tahan tiga lelaki, rampasan dadah bernilai RM4.16 juta

MELAKA: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM4.16 juta.

Operasi itu dijalankan pada 13 Ogos lepas di sekitar Lembah Klang dan Melaka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua suspek berusia antara 25 hingga 46 tahun.

“Dalam serbuan pertama di pekarangan sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang warga Pakistan,“ katanya.

Pemeriksaan pada tubuh dan kereta suspek menemukan ganja seberat 26.73 kilogram.

“Pemeriksaan di sebuah unit kondominium berkenaan berjaya membongkar stor simpanan pelbagai jenis dadah termasuk bunga ganja, ketamin, dan syabu,“ jelas Hussein.

Suspek ketiga yang merupakan warga tempatan ditahan di sekitar Ayer Molek, Melaka.

Pemeriksaan di dalam keretanya menemukan heroin base seberat 18.25 kilogram serta pelbagai jenis dadah lain.

“Secara keseluruhan, dadah yang dirampas adalah ganja (94.84kg), ketamin (42.23kg), heroin base (18.25kg), bunga ganja (2.58kg), pil eramin 5 (810 gram), dan syabu (143 gram),“ katanya.

Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM4.16 juta.

Polis juga menyita tiga kenderaan termasuk Toyota Estima dan Perodua Myvi dengan nilai rampasan keseluruhan RM4.23 juta.

Hussein berkata sindiket itu aktif sejak April lepas dan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 2.815 juta penagih.

Saringan air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Dua suspek lain mempunyai rekod jenayah dan dadah sebelum ini.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 14 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *