KUALA LUMPUR: Polis menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata di sebuah kelab malam di ibu negara.
Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki lain cedera akibat dipukul oleh kumpulan tersebut.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan penahanan itu dibuat selepas menerima laporan pada jam 9.33 pagi semalam.
Mangsa berusia 29 tahun mendakwa dipukul ketika keluar dari kelab malam sehingga mengalami kecederaan di belakang badan.
Enam suspek berumur antara 25 hingga 29 tahun berjaya ditahan dan direman selama empat hari sehingga 21 Ogos ini.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan berkaitan rusuhan dan menyebabkan kecederaan dengan senjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999.
Maklumat juga boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-2297 9222 atau balai polis terdekat. – Bernama