Polis siasat kes buli melibatkan pelajar senior di sekolah asrama Melaka

MELAKA: Polis sedang menyiasat kes buli yang melibatkan dua pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah asrama di Sungai Udang.

Insiden itu berlaku pada awal pagi Sabtu lepas dan melibatkan lebih 20 pelajar tingkatan tiga.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan laporan diterima dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda RM2,000,“ katanya.

Polis juga menunggu laporan perubatan kerana pengadu mengadu sakit kaki akibat hukuman tersebut.

Exco Pendidikan negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pihak sekolah telah menjalankan siasatan dalaman.

Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai interaksi tidak wajar antara pelajar senior dan junior.

Kerajaan negeri memandang serius insiden ini kerana ia melibatkan keselamatan dan kebajikan pelajar.

“PPD dan JPN Melaka tidak akan berkompromi dalam isu ini,“ tegas Rahmad.

Beliau menegaskan siasatan menyeluruh akan dijalankan dan tindakan tegas diambil.

Rahmad turut meminta sekolah memperkukuh kawalan serta program penerapan nilai dalam kalangan pelajar.

Media sebelum ini melaporkan lebih 20 pelajar perempuan dibuli dengan berjalan itik selama 30 minit.

Mangsa juga dikatakan menerima hukuman ketuk ketampi kerana lewat pulang ke asrama.

Kejadian itu menyebabkan beberapa pelajar mengalami bengkak dan melecet pada kaki.

Pengadu turut menyatakan mangsa tidak berani melapor kerana takut menjadi sasaran buli senior. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *