PGA rampas beras putih Thailand bernilai RM400,000 di Perak

IPOH: Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas 33,500 kilogram (kg) beras putih Thailand bernilai kira-kira RM400,000 dalam satu operasi di Gerik.

Lori treler yang membawa beras itu ditahan bersama seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata operasi itu dijalankan dari jam 3.15 petang hingga 5.45 petang.

“Pasukan operasi menahan sebuah lori treler jenis Volvo berwarna oren yang membawa 670 guni beras putih Thailand,” katanya.

Setiap guni beras itu mempunyai berat kira-kira 50 kilogram.

Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Cawangan Risik Batalion 18 PGA.

Shahrum berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994.

Barangan rampasan dan suspek diserahkan kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Perak untuk siasatan lanjut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *