Pendekatan G2G lebih berkesan elak ketirisan perolehan pertahanan

KUALA LUMPUR: Pendekatan perolehan terus antara kerajaan (G2G) dalam pembelian aset ketenteraan terbukti lebih berkesan dan menjimatkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kaedah ini membolehkan rundingan terus dilakukan antara kerajaan Malaysia dengan negara pengeluar tanpa penglibatan pihak ketiga.

“Bila kita bincang terus dengan kerajaan, kos itu terus menurun kerana kos untuk ejen yang melampau tingginya itu telah kita hentikan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai kesiapsiagaan pertahanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik.

Beliau menegaskan pendekatan G2G kini menjadi dasar utama kerajaan dalam urusan perolehan strategik.

“Projek dengan Korea, Turkiye dan Itali berjalan lancar dan mengikut jadual,” jelasnya.

Mengenai cadangan pembelian pesawat Black Hawk atau F/A-18, Anwar berkata keputusan akan dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal TUDM.

“Mereka akan bertanggungjawab penuh, jika tidak dapat dipertahankan, kita tidak akan menandatanganinya,” tegasnya.

Anwar turut menekankan peningkatan kesiapsiagaan di Pulau Banggi, Sabah susulan perkembangan geopolitik berhampiran.

“Kehadiran ketenteraan Filipina dan AS di selatan Filipina mengkhuatirkan dan mendesak kita meningkatkan kesiapsiagaan,” katanya.

Beliau telah menghubungi Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr bagi membincangkan isu tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *