Mitra agih komputer riba refurbished ke SJKT berdasarkan dana

KUALA LUMPUR: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mengagihkan komputer riba refurbished kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) berdasarkan keutamaan dana yang disediakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata penyediaan komputer baharu akan melibatkan kos tinggi dan menjejaskan program lain.

“Kenapa beri komputer riba second hand (refurbished)? Ini MITRA, kita bukan Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi atau Kementerian Digital. Kita kena buat yang berpatutan,“ katanya.

Beliau menegaskan laporan pemantauan MITRA menunjukkan inisiatif ini memberi manfaat positif kepada murid, guru, dan pentadbir sekolah.

“Kalau kita berikan komputer riba baharu, kita akan menggunakan dana yang sangat besar dan kalau kita gunakan dana yang sangat besar, bagaimana untuk mengendalikan program-program lain,“ jelasnya.

Ramanan mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa komputer riba di bawah program MITRA tidak memanfaatkan murid SJKT.

Beliau menekankan semua komputer riba dibekalkan oleh Google melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Semuanya diberikan waranti dan setakat ini, tinjauan terhadap impak mendapati program itu telah memberi impak yang positif daripada pentadbir sekolah dan guru-guru,“ katanya.

Sebanyak 6,000 unit komputer riba telah diagihkan kepada 520 SJKT setakat ini.

Program bantuan komputer riba MITRA dilancarkan pada 2023 untuk membantu murid SJKT menghadapi pembelajaran abad ke-21.

Inisiatif ini juga bertujuan mengurangkan jurang digital antara sekolah luar bandar dan bandar.

Mengenai Program Latihan Penerbangan MITRA, Ramanan berkata 75 daripada 100 peserta sedang menjalani latihan sambil bekerja.

Baki 25 peserta akan memulakan latihan pada September ini.

“Kalau nak senarai nama, saya akan bekalkan senarai sebab apabila semua program diumumkan di Parlimen tempoh hari, mungkin ada yang tidak puas hati,“ katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk komuniti India.

Beliau berharap pihak tidak bertanggungjawab berhenti menyebar fakta tidak benar dan provokasi terhadap masyarakat India. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *