Kerajaan tegas siasat kebocoran badan risikan negara – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara, khususnya berkaitan kebocoran maklumat dalam badan risikan.

Beliau memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anwar berkata SPRM kini diberi laluan sepenuhnya untuk menyiasat kes berprofil tinggi termasuk salah guna kuasa dalam agensi perisikan.

“Kalau ada sekelompok seperti kartel yang mengambil keuntungan dan menjual rahsia, ini soal besar dalam negara, jadi biar ada siasatan awal, saya dah beri maklumat kepada Panglima Angkatan Tentera Udara dan juga semuanya termasuk Pengarah Bahagian Risikan.

“Saya tunggu dulu laporan awal, tapi kita tidak akan berselindung kerana kalau kita mula kompromi dengan masalah pencerobohan dalam badan risikan, itu malapetaka bagi negara kita,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai tindakan kerajaan berikutan isu keselamatan negara termasuk kebocoran operasi pertahanan.

Pada 14 Ogos, SPRM mereman 10 individu termasuk lima pegawai kanan ATM dan dua wartawan portal berita yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan.

Anwar menegaskan pentadbiran kini tidak patut dipersalahkan kerana kes tersebut berlaku sebelum ini.

“Saya nak tegaskan, jangan tuding jari kepada kita kerana perkara ini berlaku lama sebelum ini dan tidak ada tindakan sebelum ini.

“Hal kes-kes yang lama tertangguh, yang orang boleh kumpul bilion-bilion, kadang-kadang Yang Berhormat pertahan pula, (sebab) itu kita kaji dan buat siasatan dan kalau ada kes, akan ada pendakwaan,” jelasnya.

Beliau turut memberi jaminan tiada individu akan dilindungi jika terbukti terlibat dalam salah laku, termasuk kes melibatkan anak Rafizi Ramli. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *