KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan mengkaji semula langkah sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang gagal membayar balik pinjaman.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menyatakan perkara itu sebagai jawapan kepada soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong).
Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengembalikan sekatan perjalanan bagi peminjam tegar yang enggan membayar walaupun berkemampuan.
“Mungkin kita akan kaji semula, tetapi buat masa ini masih lagi belum ada pertimbangan untuk adakan sekatan ke atas peminjam-peminjam,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat.
Menurut Mustapha, sehingga Julai 2025, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 3.1 juta peminjam daripada golongan B40 atau penerima STR.
Jumlah pinjaman yang dikeluarkan mencecah RM59.44 bilion setakat ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan pengecualian bayaran balik untuk pemegang ijazah kelas pertama akan dibuka mulai 1 September.
Proses permohonan itu akan diaktifkan selepas penyelenggaraan laman web PTPTN selesai.
“Skim kelas pertama ini telah dimulakan seawal 2001 dan setakat ini seramai 133,159 pelajar mendapat manfaat,” jelasnya.
Nilai manfaat yang disalurkan melalui skim ini mencecah RM2.9 bilion. – Bernama