KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tiada definisi khusus atau hukuman jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
“Perkataan ‘buli’ tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, tetapi saya agak lega apabila kita telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau juga menyatakan Malaysia bernasib baik kerana telah meminda Akta Suhakam yang membolehkan pelantikan Pesuruhjaya Kanak-kanak di Sabah dan Sarawak.
Azalina berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau menambah Suhakam telah menyuarakan kebimbangan bahawa kedua-dua pihak, iaitu pelaku dan mangsa, adalah kanak-kanak, justeru Akta Kanak-Kanak 2001 masih terpakai kepada mereka.
“Ini perkara yang perlu dibincangkan oleh Jemaah Menteri, sama ada wajar diwujudkan satu proses lain apabila ia melibatkan kanak-kanak,” katanya.
Tahun ini, Malaysia memegang Kepengerusian ASEAN bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dengan fokus pada institusi kukuh dan akses saksama kepada keadilan.
Forum tersebut menghimpunkan 58 penceramah dan moderator dalam 15 sesi dengan lebih 300 peserta dari ASEAN dan luar rantau. – Bernama