Kemudahan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya ditambah baik

PUTRAJAYA: Sebanyak 8,000 tempat duduk bertingkat disediakan untuk pengunjung sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya di sini.

Ini merupakan pertambahan 4,000 tempat duduk berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan berkata langkah itu bertujuan meningkatkan keselesaan pengunjung.

Beliau menyatakan ia mengambil kira maklum balas orang ramai berhubung kekurangan tempat duduk pada tahun lepas.

“Tahun ini sebab kita mengambil kira respons yang kita terima daripada orang ramai tahun lepas berhubung kekurangan tempat duduk, jadi mereka tidak dapat menikmati perarakan kontinjen.”

“Kita telah berbincang, kita naikkan kepada 8,000 tempat duduk.”

“Memang tidak dapat tampung kesemua pengunjung tetapi insya-Allah kita cuba beri keselesaan kepada pengunjung yang datang.”

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat media berhubung sambutan Hari Kebangsaan.

Turut disediakan 12 skrin LED yang membolehkan pengunjung menyaksikan secara langsung sambutan.

Dari segi kemudahan parkir, Julina berkata sebanyak 15,000 lot parkir tersedia di enam lokasi berbeza.

Lokasi-lokasi ini dihubungkan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti 100 bas, enam teksi air dan tiga Cruise Tasik Putrajaya.

Ia termasuk di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Presint 1, Presint 8, Presint 9 dan Presint 18.

Julina berkata perkhidmatan teksi air akan beroperasi pada 30 Ogos bermula 8 malam hingga 1 pagi.

Pada 31 Ogos, ia dimulakan seawal 5 pagi hingga 2 petang.

Perkhidmatan bas turut disediakan secara percuma pada 31 Ogos dengan tiga lokasi pengambilan penumpang.

“Pengunjung yang datang boleh buat pilihan dekat mana nak parkir, terdapat kemudahan sama ada dari segi pengangkutan awam bas ataupun kemudahan perkhidmatan teksi air.”

Sebanyak lima surau dan 18 khemah perubatan turut disediakan di sekitar kawasan sambutan.

Turut disediakan 60 trak makanan dan 200 tandas bergerak bagi kemudahan pengunjung.

Mengenai maklumat penutupan jalan, Julina berkata Polis Diraja Malaysia akan mengeluarkan kenyataan terperinci.

Beliau menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan sebarang permasalahan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini melalui platform media sosial rasmi sambutan Merdeka360. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *