Kedai tekstil di KL dikesan guna alat sukat tidak sah – KPDN

KUALA LUMPUR: Beberapa kedai tekstil di sekitar ibu negara dikesan menggunakan alat sukat yang tidak ditentusahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata alat sukat tidak menepati piawaian boleh menjejaskan hak pengguna.

“Pembaris yang digunakan bagi tujuan mengukur kain mestilah menepati spesifikasi dengan mempunyai logam di kedua-dua hujung serta label pensijilan daripada KPDN,” katanya.

Operasi KPDN dijalankan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan 35 premis diperiksa.

Tujuh premis dikompaun atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

Jumlah kompaun keseluruhan dikeluarkan ialah RM7,000.

Tiga premis didapati menggunakan alat sukat tidak sah manakala empat lagi gagal mempamerkan tanda harga.

Mohd Sabri berkata 272 kes kesalahan penandaan harga dan penggunaan alat timbang serta sukat dikesan sejak awal tahun ini.

Nilai kompaun yang dikeluarkan hampir mencecah RM100,000.

Beliau menasihati pengguna supaya lebih berhati-hati dan melaporkan sebarang penyelewengan.

“Kita juga berharap peniaga sentiasa mematuhi perundangan bagi memastikan urus niaga berjalan dengan adil,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *