KUALA LUMPUR: Sebahagian besar tuntutan berhubung isu pendidikan dan kesihatan di Sabah dan Sarawak telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2025.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan mesyuarat itu penting sebagai persiapan bagi MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesyuarat tersebut membincangkan penglibatan kerajaan negeri dalam perancangan projek pembangunan pendidikan dan perkongsian maklumat perpindahan pegawai kanan.
Bagi isu kesihatan, persetujuan dicapai mengenai peningkatan peruntukan belanja mengurus dan pembangunan serta autonomi kepada Pengarah Kesihatan Negeri.
Fadillah menekankan bahawa isu lain akan terus dibincang dalam jawatankuasa tindakan bersama di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Dua kertas makluman dibentangkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Kementerian Sumber Asli untuk dibawa ke mesyuarat MTPMA63 seterusnya.
Tuntutan yang belum selesai akan dipantau oleh Jawatankuasa Teknikal dan jawatankuasa kerja berkaitan di peringkat kementerian.
Mesyuarat turut dihadiri wakil kerajaan Persekutuan, Sabah, dan Sarawak termasuk menteri dan pegawai kanan. – Bernama