UALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menyarankan saksi utama perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng memohon perlindungan daripada SPRM atau polis.
Beliau menyatakan Datuk Seri G. Gnanaraja tidak perlu membuat permohonan tersebut kepada mahkamah.
“Ini membabitkan kes SPRM, saya percaya pihak SPRM mempunyai kuasa untuk buat sesuatu tentang keselamatan saksi mereka sendiri,“ katanya.
Azura menambah mahkamah bukan tempat untuk membuat kenyataan media.
Beliau berkata demikian selepas Gnanaraja memaklumkan tidak bersedia memberi keterangan akibat jahitan di tangan dan trauma.
“Saya tidak boleh memberi keterangan hari ini selagi tidak dapat memastikan keselamatan saya terjamin,“ kata saksi tersebut.
Peguam Ramkarpal Singh membantah tindakan saksi menceritakan insiden rompakan tidak berkaitan perbicaraan.
“Apa relevannya perkara itu dengan kes pada hari ini, adakah saksi mahu mohon perlindungan?” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan saksi masih trauma.
“Kami akan panjangkan tentang perlindungan keselamatan saksi ini kepada pihak atasan,“ jelasnya.
Mahkamah membenarkan permohonan peguam untuk tidak mengambil kira kenyataan Gnanaraja mengenai rompakan.
Ramkarpal memaklumkan tidak bercadang memfailkan permohonan menyingkir Wan Shaharuddin.
Perbicaraan ditangguhkan kepada 27 dan 28 Ogos untuk keterangan pegawai penyiasat SPRM.
Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menerima RM3.3 juta.
Beliau juga didakwa meminta suapan 10 peratus keuntungan daripada Zarul Ahmad.
Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan lot tanah RM208.8 juta dilupuskan. – Bernama