KUALA LUMPUR: Cadangan sambungan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Rantau Panjang, Kelantan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata projek tersebut masih dalam fasa pembinaan dan perlu dibincangkan semula dengan pihak China.
“Jajaran ke Rantau Panjang adalah sebahagian daripada pakej ECRL, tetapi ia memerlukan perbincangan dengan China Communications Construction Co Ltd (CCCC),“ katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jaminan kerajaan untuk meneruskan projek tersebut.
Kajian teknikal termasuk risiko banjir belum dilaksanakan kerana kajian kebolehlaksanaan perlu disiapkan terlebih dahulu.
Loke menegaskan bahawa kos projek ECRL tinggi kerana kebanyakan jajaran dibina secara elevated untuk mengelak banjir.
“Di Rantau Panjang, terdapat isu teknikal kerana jenis landasan ECRL dan State Railway of Thailand (SRT) berbeza,“ jelasnya.
Kawasan yard diperlukan untuk membolehkan integrasi dengan SRT bagi memudahkan pemindahan kargo.
Kementerian sedang menyediakan Memorandum Persefahaman (MoU) Cross Border Transport dengan Thailand bagi memudahkan pergerakan rel rentas sempadan.
“Kami ingin pastikan sambungan ini memberi manfaat jangka panjang dan menggerakkan ekonomi sempadan,“ kata Loke.
Dua perkara utama perlu diselesaikan sebelum kajian kebolehlaksanaan dilaksanakan.
Pertama, kesediaan kerajaan Thailand untuk menyokong sambungan ini termasuk infrastruktur di bahagian mereka.
Kedua, sama ada sambungan perlu menggunakan infrastruktur ECRL atau KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad).
Kementerian akan terus berunding dengan Thailand bagi menentukan model kerjasama terbaik. – Bernama