KUALA LUMPUR: Peruntukan dan bantuan untuk masyarakat India disalur secara menyeluruh melalui pelbagai kementerian, bukan hanya tertumpu pada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat program lain dengan peruntukan besar di bawah kementerian lain yang memberi manfaat dalam pendidikan, perumahan, dan perniagaan.
Beliau mencontohkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi masyarakat India pada 2022 berjumlah setengah bilion ringgit, manakala untuk 2025 mencecah RM1 bilion.
Skim Jaminan Kredit perumahan bernilai RM1.2 bilion turut disediakan untuk kaum India.
“Pada 2024, daripada RM100 juta di MITRA, RM98.9 juta telah dibelanjakan dengan memberi manfaat kepada 122,082 masyarakat India,“ katanya.
Bantuan lain termasuk subsidi pendidikan awal RM93 juta dan bantuan pengajian tinggi untuk keluarga B40 India bernilai RM17.63 juta.
Kerajaan turut menyediakan bantuan komputer riba untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM2.99 juta melibatkan 6,000 unit.
“Pandangan yang mengatakan kerajaan tidak mempedulikan kaum India adalah tidak benar,“ tegas Anwar.
Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai fokus Kerajaan MADANI dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat India.
Bagi tahun 2025, pendekatan penyaluran bantuan akan lebih terselaras melibatkan setiap kementerian dan MITRA.
Contohnya, projek perumahan masyarakat India di bawah KPKT akan ditambah dengan dana MITRA bagi menampung kekurangan.
“Kalau KPKT belanja RM20 juta, tambah RM5 juta dari MITRA untuk diselaraskan,“ jelasnya.
Bantuan peralatan makmal ICT di 50 SJKT turut mendapat RM5 juta daripada Kementerian Pendidikan dan sebahagian dari MITRA.
Sebanyak 200 rumah ibadat Hindu berdaftar sebagai Pusat Komuniti Setempat mendapat peruntukan RM20 juta.
Bantuan one-off pembaikan rumah kediaman pekerja ladang India bernilai RM10 juta turut disediakan oleh ICU JPM.
Mengenai kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat India, Anwar berkata program menoktahkan kemiskinan perlu dipertingkatkan secara menyeluruh.
Kerangka Ekonomi MADANI menekankan pemusatan program tanpa membezakan kaum di setiap negeri dan daerah.
“Jumlah orang miskin dalam kalangan Melayu lebih tinggi kerana majoriti penduduk adalah Melayu,“ katanya.
Namun, beliau menegaskan kelompok masyarakat India yang miskin tetap perlu ditangani dengan lebih serius.
Anwar menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) mengenai garis panduan dalam RMK13 untuk menangani kemiskinan kaum India. – Bernama