Waspada tindakan segelintir pihak cuba gugat perpaduan negara – PM

CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan rakyat agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan tindakan segelintir pihak yang memainkan isu tertentu bagi memecah-belahkan perpaduan masyarakat di Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata setiap isu di negara ini perlu ditangani dengan baik kerana Malaysia mempunyai undang-undang yang jelas.

Mengambil contoh isu Jalur Gemilang, beliau berkata kerajaan tidak melindungi mana-mana pihak dan mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan.

“Ini negara hukum, yang mempunyai peraturannya sendiri… sebab itu saya wujudkan Kementerian Perpaduan Negara kerana bagi saya, politik harus stabil.

“Negara ini mesti diajar dan belajar daripada negara lain… mana ada negara di dunia, bila bangkit soal benci kaum, benci agama yang (akan) selamat,” katanya pada Program Temu Anwar@Universiti Multimedia (MMU) di sini.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan pelajar yang ingin tahu langkah kerajaan bagi melaksanakan agenda penyatuan nasional dan usaha membanteras isu perkauman hingga akar umbi.

Beliau turut memuji sikap pelajar yang cakna tentang peri pentingnya perpaduan serta kesepakatan dalam membentuk negara maju dan berjaya.

“Kesedaran dalam kalangan anak muda semakin meningkat… ini menunjukkan adanya harapan untuk kita menyelamatkan dan membina negara ini ke arah yang lebih baik.

“Kesatuan rakyat Malaysia itu sangat cerah kerana sikap anak-anak yang sangat positif tetapi kita kena ingat, masih ada (pihak cuba) menghasut,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata isu kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir misalnya dikesan dimanipulasi sesetengah pihak hingga menunjukkan kerajaan tidak ambil peduli perkara itu.

“Kalau kes itu terlibat pembunuhan atau buli, kita tidak peduli anak siapa tetapi akan siasat dan dakwa tetapi janganlah kata kita nak selindung.

“Jika anda lakukan kesalahan jenayah, saya tidak peduli anda anak siapa… anda buat salah, anda terima hukuman. Itu cara kita,” katanya- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *