Tiada cubaan cover-up dalam siasatan kes Zara Qairina – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tiada sebarang cubaan menutup kes atau cover-up dalam siasatan kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir.

Beliau menekankan semua tindakan dan siasatan dijalankan berdasarkan fakta, laporan dan permohonan yang sah mengikut undang-undang.

“Tuduhan mengatakan kes ini cuba ditutup dan dimanipulasi adalah tuduhan sangat berat yang tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini,” katanya selepas sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Saifuddin Nasution menegaskan komitmen terhadap keadilan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang dalam kes serius melibatkan kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Menteri itu menafikan dakwaan badan penguatkuasaan melindungi individu berpangkat atau berkedudukan dalam siasatan kes ini.

“Siasatan polis menyeluruh terhadap setiap dakwaan termasuk penglibatan cucu orang kenamaan, isteri timbalan menteri dan dakwaan dera dalam mesin basuh tidak menemukan sebarang bukti,” jelasnya.

Sebanyak 195 saksi telah memberi keterangan dalam siasatan kes ini tanpa menemui sebarang bukti menyokong dakwaan-dakwaan tersebut.

Saifuddin Nasution menambah tindakan awal polis, pihak sekolah dan pegawai perubatan pada hari kejadian dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Beliau menegaskan pengambilalihan siasatan oleh pasukan Bukit Aman tidak menjejaskan integriti siasatan kes ini walaupun terdapat isu ketidakpatuhan prosedur awal.

Enam Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang telah membahaskan perkara ini dalam sesi penerangan menteri tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *