Tanggungjawab bersama jaga kebersihan lebuh raya Pan Borneo

BINTULU: Menjaga kebersihan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau agensi penguatkuasaan tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak yang menggunakannya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan lebuh raya itu aset negara bernilai berbilion ringgit dan menjadi nadi pembangunan Sarawak.

“Amat menyedihkan apabila melihat di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo, khususnya di kawasan P-Turn dan jejantas, sampah dibuang merata-rata. Ia bukan sahaja menyakitkan mata tetapi menjejaskan imej rakyat dan negeri Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Kesedaran Menjaga Kebersihan di Pusingan P LPB Bintulu-Miri di sini hari ini.

Nanta menjelaskan tiada keperluan untuk mengadakan undang-undang baharu mengenai kebersihan kerana pihak berkuasa tempatan seperti Lembaga Kemajuan Bintulu sudah mempunyai peraturan berkaitan pembuangan sampah.

Beliau menekankan disiplin diri dalam kalangan masyarakat adalah lebih penting daripada meletakkan pegawai penguat kuasa di sepanjang lebuh raya.

“Kita mahu media menyebarkan mesej ini secara positif. Anda juga ada tanggungjawab untuk meyakinkan masyarakat supaya memainkan peranan menjaga kebersihan. Kesedaran sivik ialah kunci,” katanya.

Selain penguatkuasaan, kerajaan akan menambah kemudahan dengan meletakkan tong sampah di lokasi tertentu bagi memudahkan pengguna lebuh raya.

Pada program Jaga Pan Borneo Bait-Bait yang dihadiri lebih 200 penduduk, Nanta turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas.

Beliau berkata lebih 500,000 kes kemalangan jalan raya dilaporkan setiap tahun di seluruh negara dan sebahagian besar berpunca daripada kecuaian- Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *