Polis tahan lima lelaki, rampas ganja bernilai RM142,600 di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki dan merampas ganja seberat kira-kira 46 kilogram bernilai RM142,600 dalam satu operasi antara 10 malam Jumaat hingga 7 pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata serbuan itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut yang menemui dadah tersebut disembunyikan di dalam dua rumah dan sebuah kereta.

“Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia 38 hingga 56 tahun dan disyaki sebagai ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan di sebuah kediaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut menemui 30 dan 14 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat masing-masing 29,948 gram dan 16,179 gram di dua kediaman serta sebuah kereta Toyota Alphard.

Polis turut merampas dua kereta lain iaitu Perodua Bezza dan Honda Accord bernilai RM47,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM189,600.

Azizee berkata risikan mendapati sindiket itu aktif sejak Februari lepas dan jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 92,000 orang.

Ujian air kencing menunjukkan empat suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) manakala seorang lagi positif methamphetamine, dengan dua suspek mempunyai rekod jenayah dadah sebelum ini.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 22 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *