KPKT teliti cadangan pindaan Akta 118 untuk projek komersial bermasalah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti cadangan pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi memperluaskan skop tindakan ke atas projek komersial yang bermasalah.

Menteri Nga Kor Ming berkata pindaan itu akan membolehkan penguatkuasaan dilaksana dengan lebih berkesan dan menyeluruh termasuk menyenarai hitam ahli lembaga syarikat pemaju induk serta syarikat subsidiari.

“Melalui pindaan ini kelak, bukan sahaja syarikat induk akan disenarai hitam malah pemilik sebenar di belakang tabir syarikat juga akan dikenakan tindakan sama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu sama ada ahli lembaga syarikat pemaju dan syarikat pemaju bagi projek komersial juga akan disenarai hitam sekiranya syarikat subsidiari mereka terlibat dalam projek sakit.

Nga berkata apabila sesuatu projek disahkan sebagai projek sakit, KPKT mengambil tindakan proaktif dengan menyenarai hitam pemaju perumahan serta ahli lembaga pengarah syarikat yang terlibat.

“Semua syarikat lain yang mempunyai ahli lembaga pengarah yang sama turut disekat daripada memohon lesen pemajuan baharu, manakala akaun pemajuan perumahan (HDA) sedia ada juga dibekukan,” katanya.

Sehingga 30 Jun, Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah mengesan 233 projek lewat dan 360 projek sakit, dengan 220 projek sakit memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta 14 projek bertukar status menjadi projek lancar.

“Secara keseluruhan sehingga kini sebanyak 1,127 projek terbengkalai telah berjaya diselamatkan dan dipulihkan melibatkan 135,000 pembeli rumah,” katanya.

KPKT telah membangunkan sistem khas https://teduh.kpkt.gov.my/. beli rumah membuat semakan senarai syarikat pemaju yang disenarai hitam melalui portal Teduh di laman rasmi https://teduh.kpkt.gov.my/.

“Tahun ini sahaja, sebanyak 109 syarikat pemaju perumahan telah disenarai hitam dan mereka akan disekat daripada berniaga dalam sektor pemajuan perumahan, demi melindungi hak dan kepentingan awam,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung keberkesanan langkah senarai hitam sekiranya tiada sistem pemarkahan terbuka atau track record rating syarikat pemaju untuk rujukan orang awam sebelum membeli rumah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *