KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mencadangkan penubuhan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkaitan penggunaan dan penyimpanan rakaman kamera badan oleh pegawai Jabatan Imigresen semasa operasi penguatkuasaan.
EAIC menyatakan cadangan ini telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Imigresen bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan tugas serta mengelakkan sebarang tohmahan awam pada masa depan.
“Pelaksanaan SOP ini penting bagi menjamin integriti dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap agensi,” menurut kenyataan EAIC hari ini.
Suruhanjaya itu memaklumkan ia menerima aduan berhubung dakwaan kekasaran oleh pegawai Imigresen Kuala Lumpur terhadap seorang individu semasa operasi pada 25 Jun tahun lepas.
Siasatan dijalankan mengikut peruntukan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Hasil siasatan mendapati rakaman kamera badan tidak dapat diperoleh kerana data hanya disimpan selama 30 hari, manakala rakaman CCTV di lokasi kejadian juga gagal diperoleh kerana peralatan telah dicabut selepas serbuan.
Semua pegawai dan anggota Imigresen Kuala Lumpur yang terlibat dalam operasi tersebut memberi keterangan dan menafikan dakwaan kekasaran atau tindakan memukul individu berkenaan.
“Berdasarkan keterangan, individu yang membuat aduan tidak dapat mengenal pasti pegawai yang didakwa mengasari beliau,” menurut kenyataan EAIC.
Kertas siasatan polis berkaitan insiden ini telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya. – Bernama