Bapa rayu isteri dan anak pulang ke pangkuan keluarga selepas hilang

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus jualan merayu isteri dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun pulang ke pangkuan keluarga selepas hilang sejak 25 Julai lalu.

Muhammad Paul David Arikhersamy, 39, berkata semalam (17 Ogos) merupakan hari ulang tahun kelahiran anaknya Muhammad Daniel Paul yang ke-10, namun beliau masih gagal menghubungi mereka.

“Saya amat sedih kerana tidak dapat bersama anak saya pada hari istimewanya. Saya bimbang keselamatannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata isterinya, Juananey Samlin, 45, dan anaknya gagal dikesan hingga kini walaupun sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 31 Julai.

“Saya telah menghubungi ahli keluarganya untuk mengetahui keberadaan isteri dan anak, namun tiada respons. Sejak kehilangan mereka, anak saya juga tidak ke sekolah.”

Pihak sekolah sering menghubunginya untuk bertanya khabar mengenai anak, katanya sambil mengakui berlaku sedikit perselisihan sebelum kejadian itu.

Pegawai penyiasat Sarjan Abrar Farhan Mohd Tahir mengesahkan kes berkenaan dan siasatan masih dijalankan dengan klasifikasi Laporan Orang Hilang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat melalui talian 012-4371069 atau Muhammad Paul David melalui talian 016-3033637. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *