PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan kematian mangsa buli sebagai senjata politik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan menggunakan kematian mangsa buli untuk tujuan penipuan dan hasutan adalah perbuatan yang tidak boleh diterima.
“Soal media sosial ini, kita kawal (tapi) ada batasnya. Umpamanya yang terbaharu, seseorang yang kata dia itu doktor patologi bagi gambaran (bedah siasat Zara Qairina Mahathir) dan ini meracuni pemikiran jutaan orang sehingga ada rakan, isteri, sahabat bertanya PM (Perdana Menteri) apa ini?”
Beliau menegaskan kematian Zara Qairina tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menikam pihak lain secara politik atau menyebarkan fitnah.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujud kelemahan dalam pengendalian kes kematian Zara Qairina tetapi menegaskan pihak berkuasa sedang menanganinya dengan telus.
“Saya, TPM (Timbalan Perdana Menteri) Fadillah, TPM Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dah keluarkan kenyataan dan kita sudah adakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan telus.”
Mengenai isu buli, Anwar menekankan budaya itu perlu dihentikan sepenuhnya kerana ia melibatkan penderaan psikologi dan fizikal.
“Buli ini (berbentuk) penderaan psikologi dan fizikal sama ada di sekolah, universiti, pejabat, Kementerian Kesihatan (KKM), (budaya) ini mesti dihentikan kerana ia kebejatan (meliputi) penghinaan sama ada atas peribadi seseorang, warna kulitnya dan pelbagai.”
Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata MCMC dan PDRM sedang mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah terlibat dalam kes Zara Qairina.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya. – Bernama