10 warga Myanmar ditahan cuba masuk Malaysia secara haram

KOTA BHARU: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan 10 warga Myanmar yang cuba memasuki negara secara haram melalui Sungai Golok.

Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), kesemua ditahan terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun.

“Beberapa barangan peribadi seperti telefon bimbit dan wang tunai Malaysia, Myanmar dan Thailand turut dirampas,“ menurut kenyataan itu.

Sebuah kenderaan Mitsubishi Pajero juga berjaya ditahan walaupun pemiliknya yang disyaki sebagai penyeludup sempat melarikan diri ke Thailand.

2 Divisyen memaklumkan jumlah nilai rampasan dalam operasi ini mencecah RM21,426.

Kesemua warga Myanmar yang ditahan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli untuk siasatan lanjut.

Operasi ini menunjukkan komitmen berterusan pihak keselamatan Malaysia dalam membanteras kegiatan rentas sempadan haram.

Sungai Golok yang menjadi sempadan antara Malaysia dan Thailand sering menjadi lokasi kegiatan penyeludupan manusia dan barangan haram.

Tentera Darat Malaysia akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *