TPM Ahmad Zahid ingatkan jangan salah guna pangkat untuk kerja haram

PASIR SALAK: Anggota dan pegawai pasukan pertahanan serta keselamatan tidak seharusnya menyalahgunakan kedudukan mereka untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

Mohd Nizam sebelum ini menyatakan tidak akan berkompromi dalam isu penyalahgunaan kuasa.

“Saya bersetuju dengan kenyataan beliau yang tidak akan berkompromi mengambil tindakan terhadap persekongkolan antara pegawai-pegawai ATM,“ katanya.

Ahmad Zahid menegaskan tindakan tegas perlu diambil bukan sahaja terhadap pemberi maklumat tetapi mereka yang terlibat secara langsung.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Santunan Desa Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Perak.

Program itu diadakan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.

Timbalan Perdana Menteri berkata penyalahgunaan kuasa perlu dihentikan kerana ia melibatkan imej pasukan keselamatan.

“Imej pertahanan negara mesti dipertahankan,“ tegasnya.

“Saya harap ini jadi satu pengajaran mahal untuk yang lain-lain,“ katanya.

Beliau menasihati semua pasukan penguat kuasa supaya tidak melakukan kerja yang menyalahi undang-undang.

Rabu lepas, 10 individu termasuk pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.

Operasi dikenali sebagai Op Sohor itu dilaksanakan Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Seorang warga Indonesia turut ditahan dalam operasi berkenaan- Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *