JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes membakar lori tunda milik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Kejadian berlaku di depoh simpanan kenderaan, Lot 1 Johor Bahru Waterfront pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek.
Suspek dikatakan tidak berpuas hati selepas kereta Perodua Axia miliknya ditunda oleh MBJB sehari sebelum kejadian.
“Suspek yang tidak mempunyai wang untuk membayar kompaun didakwa bertindak di luar batasan dengan menuang petrol dan membakar lori berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000,” katanya.
Polis berjaya menahan suspek pada hari sama pukul 1.06 tengah hari berdasarkan maklumat yang diterima.
Beberapa barang kes seperti tong aluminium dan pemetik api turut dirampas sebagai bukti.
Semakan rekod lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Namun, saringan air kencing suspek didapati negatif bagi sebarang bahan terlarang.
Suspek kini direman selama lima hari bermula semalam bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi satu minit 39 saat di laman sosial Facebook memaparkan kejadian tersebut.
Video menunjukkan seorang lelaki menuang dipercayai minyak petrol ke atas lori tunda sebelum membakarnya.
Dua individu lain dilihat membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api- Bernama