PGA rampas kayu bernilai RM19 juta di Tanah Merah

KOTA BHARU: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis kayu membabitkan nilai lebih RM19 juta selepas melakukan pemeriksaan ke atas dua kilang kayu secara berasingan di Tanah Merah, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan pertama dilakukan di sebuah kilang kayu dekat Jalan Bukit Kechik, membabitkan sebanyak 33 ikatan kayu pelbagai saiz dan jenis, satu longgok kayu bulat, peralatan memproses kayu serta sebuah lori turut disita.

“Ketika anggota tiba di lokasi terdapat dua orang lelaki warga tempatan berada dalam kilang tersebut. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kilang berkenaan tidak mempunyai lesen beroperasi daripada Jabatan Perhutanan, selain kayu di kilang itu tidak bercukai.

“Pemilik kilang yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun dan pemandu lori lelaki warga tempatan berumur 27 tahun turut ditahan. Anggaran rampasan bernilai RM10.98 juta,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, dalam serbuan seterusnya, Nik Ros Azhan berkata pihaknya merampas pelbagai jenis kayu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kilang kayu di Kampung Bukit Pauh bernilai RM8.2 juta.

Beliau berkata rampasan itu membabitkan sebanyak 45 longgok kayu pelbagai saiz dan spesies yang siap diproses, lima longgok kayu balak pelbagai saiz dan jenis, peralatan memproses kayu dan sebuah jentera berat yang turut disita.

“Ketika anggota tiba di lokasi, terdapat seorang pekerja perempuan warga tempatan berumur 35 tahun berada dalam kilang tersebut. Permit memproses kayu yang dikemukakan agak meragukan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pas untuk memindahkan hasil hutan telah digunakan berulang kali oleh kilang kayu tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa,“ katanya.

Beliau berkata hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Kelantan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *