KUALA LUMPUR: Bayangkan betapa terkejutnya seorang ibu apabila pintu rumah diketuk penghantar barang bersama-sama bungkusan yang langsung tidak pernah dipesan atau lebih mengharukan saat seorang ayah termenung melihat bil kad kredit yang tiba-tiba melambung tinggi.
Semuanya gara-gara ‘satu sentuhan kecil’ di skrin telefon oleh anaknya yang menekan butang purchase atau upgrade ketika bermain peranti pintar.
Insiden seperti ini kedengaran mungkin lucu atau kes terpencil namun sebenarnya mencerminkan cabaran besar yang sedang dihadapi ibu bapa era digital hari ini.
Teknologi yang dahulunya dianggap sebagai alat bantu kini menjadi pisau bermata dua apabila di satu sisi memberi kemudahan, tetapi di sisi lain membuka ruang kepada risiko seperti pembelian tanpa sedar, ketagihan permainan video, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dan juga ancaman keselamatan siber.
Pensyarah Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Shafizan Mohamed berkata pengalaman itu semakin kerap didengar dalam kalangan ibu bapa di era digital.
“Kedengaran macam sekadar kisah biasa, tetapi realitinya ramai ibu bapa berdepan kebimbangan lebih besar yang mana anak-anak terdedah kepada kandungan ganas, pornografi, ideologi ekstrem.
“Malah menjadi mangsa pemangsa siber selain isu masa skrin berlebihan, kesihatan dan kawalan nilai yang semakin mencabar,” katanya kepada Bernama.
Dapatan kajian yang dijalankan pasukannya sejak 2023 melibatkan hampir 600 responden pelbagai latar belakang turut mengesahkan kebimbangan itu, antara lain 92 peratus ibu bapa mengakui sukar memantau dan mengawal masa skrin anak, khususnya apabila peranti kini menjadi sebahagian daripada keperluan pembelajaran dan hiburan.
Menurut Shafizan situasi ini mendorong lebih 80 peratus responden menyuarakan keperluan akan panduan pakar yang boleh dipercayai, mudah diakses serta menepati konteks budaya Malaysia serta menghargai ruang perkongsian pengalaman sesama ibu bapa.
Bagi memenuhi keperluan itu, beliau bersama-sama sekumpulan pengkaji UIAM dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membangunkan laman web Platform Keibubapaan Digital (KID) sebagai sumber rujukan utama keibubapaan digital di Malaysia.
“Laman web sedia ada yang dibangunkan di luar negara tidak semestinya sesuai untuk ibu bapa di sini kerana perbezaan budaya dan cara didikan.
“Melalui KID, kami kumpulkan panduan daripada pakar pelbagai bidang termasuk psikologi kanak-kanak, pediatrik, komunikasi dan teknologi maklumat, untuk membina modul keibubapaan digital yang lebih sesuai dengan budaya Malaysia,” jelasnya.
Dilancarkan pada awal bulan ini, platform yang boleh diakses di www.platformkid.my itu turut menyediakan ruang forum komuniti, artikel, video, elemen gamifikasi, webinar serta fungsi interaktif untuk membolehkan soalan diajukan terus kepada pakar.
Antara tajuk boleh didapati ialah pandangan pakar berkenaan kesan terlalu banyak terdedah kepada kandungan digital yang tidak berkualiti dan pempengaruh cilik.
Shafizan menegaskan keibubapaan digital bukan sekadar soal mengehadkan masa skrin, tetapi bagaimana ibu bapa membimbing anak agar teknologi menjadi alat pembangunan, bukannya ancaman.
“Setiap anak mungkin tidak sama keperluan dan cara untuk mendidiknya tapi diharap platform ini mampu menjadi sistem sokongan ibu bapa dalam mencorak anak masing-masing,” katanya.