Kerjasama strategik model berkesan bangun tanah terbiar bagi penanaman padi – Abang Jo

MUKAH: Kerjasama strategik antara sektor swasta dan pemilik tanah tempatan boleh menjadi model berkesan untuk membangunkan tanah terbiar bagi penanaman padi secara komersial yang memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja mampu menjana pendapatan konsisten kepada pemilik tanah, tetapi juga membolehkan penanaman dijalankan secara moden dan berskala besar.

“Jika tidak, tanah itu akan terbiar disebabkan kos yang tinggi untuk diusahakan sendiri oleh penduduk. Dengan adanya pihak swasta, penanaman dapat dijalankan secara moden menggunakan jentera dan akan mewujudkan ekonomi skala,“ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat Projek Penanaman Padi Komuniti yang diusahakan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang dan Padihead Sdn Bhd di Ladang Padi Ta Ann Padihead, Tanjung Manis hari ini.

Abang Johari berkata syarikat swasta akan membuat pelaburan dengan menyediakan jentera serta teknologi moden bagi mengusahakan tanah milik penduduk.

“Penggunaan jentera bukan sahaja mempercepat proses penanaman padi iaitu dalam tempoh 50 minit sehektar, malah berupaya meningkatkan hasil kepada tiga musim setahun,” katanya.

Projek Penanaman Padi Komuniti yang diusahakan di kawasan seluas 323. 75 hektar dijangka mampu menghasilkan kira-kira empat tan padi sehektar bagi dua musim penanaman setahun.

Beliau berkata model yang sama berpotensi besar untuk diperluas di kawasan lain termasuk di Kuala Rajang yang memiliki kawasan seluas 105.22 hektar.

“Jika kita dapat menanam 14,000 hektar di seluruh Sarawak, pengeluaran beras boleh mencapai kira-kira 240,000 metrik tan, cukup untuk kegunaan dalaman. Jika kawasan itu ditambah lagi 14,000 hektar, jumlahnya boleh digandakan kepada 480,000 metrik tan, dengan lebihan boleh dieksport,” katanya.

Sarawak menyasarkan untuk mencapai keterjaminan makanan melalui transformasi dan pemerkasaan sektor padi dengan inisiatif teknologi tinggi untuk memperkukuh pengeluaran dan potensi eksport menjelang 2030 – BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *