TAMPIN: Seorang guru besar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Gemencheh meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di pejabatnya hari ini.
Ketua Polis Daerah Tampin Supt Amiruddien Sariman berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 11.25 pagi.
Difahamkan mangsa sedang berehat di biliknya kerana kurang sihat sebelum kejadian.
“Siasatan awal mendapati wanita berusia 44 tahun itu telah menghadiri Program Hari Usahawan di sekolah.
“Pada pukul 9 pagi, rakan mangsa mendapati wanita itu tidak sedarkan diri dan membawanya ke Klinik Kesihatan Gemencheh,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di klinik berkenaan.
Amiruddien berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat.
Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – BERNAMA