KUCHING: Isu berkaitan autonomi pendidikan akan menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) esok.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan tuntutan Sarawak termasuk penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam bidang STEM.
“Cabaran utama adalah dasar nasional yang menetapkan keseragaman dari segi kurikulum dan bahasa.
“Namun, satu daripada pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah mengekalkan dasar sedia ada dengan tambahan seperti program DLP,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Bicara Eksekutif MADANI di sini hari ini.
Mesyuarat itu juga akan membincangkan pembinaan pusat kanser di Sarawak untuk meningkatkan akses rawatan kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian sebelum ini menyatakan pusat kanser itu dicadang mempunyai sekurang-kurangnya 310 katil.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding cadangan awal sebanyak 200 katil yang dibincangkan pada April lepas.
Penambahan dibuat selepas mendapat saranan pakar perubatan dan pegawai kesihatan yang terlibat dalam perancangan projek. – Bernama